Tuesday, May 3, 2011

Kejadian Rumah Sewa 4

"Haaaah!", jerit Zam yang tersentak dari kamar tidurnya. Peluh di dahinya dilap dengan selimut pink yang jarang-jarang sekali dibasuh itu. Dia tidak henti-henti beristighfar sambil mengusap-usap dada dan cuba memplotkan kembali kisah mimpinya tadi. Semakin diingat, semakin dia tidak tenteram. Dilapnya sekali lagi putik-putik peluh di dahi, pipi, belakang cuping telinga serta di lehernya yang tercetak satu tanda sejak dia lahir lagi. Dalam keadaan fikirannya yang masih ceralu itu, Zam mendengar suatu bunyi seakan-akan ada orang sedang mengetuk atap zink dengan benda keras. " Ada orang menukang lagi ke pukul 3 pagi ni?", fikirnya sendiri sambil melihat jam di skrin telefon bimbitnya. Dihayatinya bunyi itu dengan teliti, "Oh! bunyi degupan jantung aku rupanya", Zam bermonolog dengan sedikit perasaan lega. Dengan bantuan cahaya lampu jalan yang menyelinap masuk dari tingkap kaca biliknya Zam bangun dari katilnya dan  mengambil botol air di atas meja tulis. Kehausan, mungkin kerana banyak berpeluh. Air dalam botol itu tinggal tidak sampai suku botol lagi, Zam meneguknya sampai habis. Masih terasa haus tapi Zam merasa malas untuk keluar mengisi semula air di dapur.  Selepas itu dia kembali berbaring untuk meneruskan tidurnya. Namun, kejadian dalam mimpi tadi membantutkan hajatnya itu. Masih terngiang-ngiang jeritan hantu Kak Nora dalam kepalanya. Bulu romanya meremang. Tidak dapat tidak, kejadian di rumah sewa Kak Nora kembali fikirannya menghantuinya.

bersambung...

No comments:

Post a Comment