Sunday, April 24, 2011

Kejadian Rumah Sewa 2

Mereka memang jarang membuka suis lampu di luar rumah kerana mahu menjimatkan penggunaan elektrik. Cuma kadang kala Ramli ada juga membuka lampu luar itu, katanya itu sebagai petanda yang mereka ada di dalam rumah jadi tidak akan ada pencuri yang berani masuk. Lagipun mereka sekarang tinggal di kawasan perumahan cina, tambah Ramli. Zam dan Luqman memang sudah kenal sangat dengan sikap Ramli yang agak penakut dan cepat panik itu. Bagi Zam bukannya menjadi masalah memasang lampu luar pada waktu malam tetapi tidak ada siapa yang mahu tutup lampu tersebut bila dah menjelang siang kerana mereka bertiga sering bangun lambat dan ponteng kelas.Sambil Zam cuba membuka kunci pintu grill tersebut,dalam kesamaran malam mereka bertiga memerhatikan wajah perempuan yang berbaju T-shirt kuning dan berseluar jeans yang agak ketat itu dari celahan pintu grill rumah mereka yang bermotifkan rekaan pagar orang cina.Ada perkataan cina pada pintu tersebut tetapi tidak pula mereka tahu apa maksud perkataan tersebut malah tidak pula mereka peduli. " Sorry Kak Nora lambat sikit, masuklah dulu", pelawa Zam dengan penuh mesra dan dalam masa yang sama baru dia terfikir "kenapa la aku ajak dia masuk, kan dah malam ni, lagipun dia perempuan". Ramli dan Luqman menjeling Zam dengan perasaan curiga dan tidak puas hati. "Terima kasih dik tapi takpe, akak berdiri di sini saja", jawab Kak Nora. Dengan perasaan lega Zam dan Luqman mengangguk manakala Ramli pula bersembunyi di belakang Luqman tetapi disebabkan tubuh Ramli yang agak gempal, punggungnya yang berisi itu jelas kelihatan. "Sebenarnya akak datang ni sebab nak pulangkan deposit rumah korang dan akak juga nak mintak maaf pasal kejadian tempoh hari", sambung Kak Nora sambil memandang ke lantai, mungkin kerana masih rasa bersalah dengan kejadian di rumah sewa sebelum ini. " Wow! cantik pula aku tengok Kak Nora malam ni"; Zam bermonolog sendirian. Dalam waktu yang sama dia berfikir adakah Luqman dan Ramli juga perasaan akan kecantikan bekas tuan rumah mereka itu. Wajah Kak Nora yang dulunya kusam, berjeragat serta terdapat kesan-kesan inflamasi akibat pengunaan produk yang menghakis lapisan kulit kini menjadi begitu putih dan gebu. " tak elok berdiri di luar malam-malam ni Kak Nora, marilah masuk dulu", Ramli mencelah menyebabkan Zam sedikit tergamam dan fikirnya "Dah mula dah Ramli ni, memang pantang melihat janda cantik, tadi bukan main menyorok. Dia sudah lupa  ke peristiwa sebelum ini yang menimpanya?". "erk! tak ape la dik, Akak kat sini saja", balas Kak Nora dengan serba salah. "tak boleh kak, lagipun malam ni macam nak hujan je, masuklah dulu", balas Ramli yang begitu beria-ia mengajak Kak Nora. Kak Nora memandang ke langit. Memang seperti cuaca mahu hujan. Bintang-bintang yang bertaburan menjelang waktu Isyak tadi sudah tidak kelihatan lagi. Yang tinggal hanya samar-samar cahaya bulan yang semakin dilitupi awan hitam yang berarak pantas dan semakin menebal serta semakin berat. Kak Nora tersenyum dan menjawab "baiklah, akak masuk". Zam seakan terganggu dengan senyuman Kak Nora tadi. Baginya senyuman itu bagaikan ada maksud tertentu.

bersambung....

2 comments: